Tuesday, September 8, 2015

KAEDAH-KAEDAH FIQH YANG BERKAITAN

Terdapat beberapa kaedah fiqh yang boleh diguna pakai dalam menentukan keharusan hukum mengenai  isu pemindahan dan pendermaan organ  kepada pesakit yang mengalami kegagalan fungsi organ peringkat akhir ini. Tujuan utamanya ialah untuk memenuhi salah satu tuntutan maqasid syar’iyyah iaitu menjaga nyawa manusia disamping mempertingkatkan kualiti hidup penerimanya.     Antara kaedah fiqh yang dikenal pasti dalam mengharuskan pemindahan dan pendermaan organ adalah, “Kaedah Maslahah Al-Mursalah” iaitu mendatangkan segala bentuk kemanfaatan atau menolak segala kemungkinan  kemudharatan yang merosak. Kemaslahatan ialah perkara yang mendatangkan kebaikan yang tidak didukung oleh dalil syariat atau nas yang terperinci, namun ia mendapat sokongan kuat dari makna secara tersirat sejumlah nas yang ada. Ianya juga termasuk dalam Maqasid Syar’iyyah  iaitu maslahah yang dikehendaki Allah S.W.T  untuk hambanya yang terdiri daripada memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta secara mutlak. Oleh itu maslahah ini adalah satu keadaan di mana tiada dalil khusus daripada syara’ yang menerangkannya dan tidak ada hukum yang telah dinaskan oleh syara’ yang menyerupainya, yang mana boleh dihubungkan hukumnya melalui dalil Qiyas. Tetapi pada perkara tersebut terdapat satu sifat yang munasabah untuk diletakkan hukum tertentu kepadanya kerana ia mendatangkan maslahah atau menolak mafsadah (perkara yang mendatangkan kerosakan). Di dalam Maslahah Al-Mursalah beberapa kriteria ditetapkan agar tidak terjadi penetapan hukum berdasarkan nafsu. Syarat-syarat yang perlu dipatuhi ialah maslahah mestilah selari dengan tujuan syariat, tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip dasar, dan tidak terpesong dari garis ketentuan dalil-dalil yang qat’ie. Selain dari itu kemaslahan tersebut adalah kemaslahan yang rasional, maksudnya secara logik terdapat tuntutan wujud kemaslahatan terhadap penentuan hukum. Maslahah yang menjadi acuan penentuan hukum haruslah bersifat universal atau menyeluruh, bukan untuk kepentingan individu atau kelompok tertentu kerana hukum-hukum syariat dilaksanakan untuk semua manusia. Dari segi aplikasi kaedah ini, pemindahan organ sebagai langkah untuk menyelamatkan nyawa boleh dikategorikan sebagai maslahah daruriyat di mana penerima organ boleh sembuh dan kembali hidup seperti normal. Ia juga dapat menghilangkan kesakitan dan keperitan yang harus ditanggung penerima organ dan mengurangkan kos rawatan dan perbelanjaan berkaitan dengan rawatan. Tambahan pula kesan sampingan pada penderma dipastikan pada tahap minimal. Di samping itu ia juga boleh dilakukan pada siapa saja tidak kira umur, jantina, bangsa ataupun agama (universal). Oleh itu kaedah pemindahan organ ini adalah bertepatan dengan hadith Rasululllah (saw) yang menjanjikan adanya penawar bagi setiap penyakit kecuali tua dan mati (Hadith Riwayat al-Bukhari). Kaedah الأصل فى الاشياء الاباحة حتى يدل الدليل على التّحريم    iaitu “Asal pada kebanyakan perkara adalah harus sehingga ada dalil yang menunjukkan ianya haram” adalah juga antara kaedah yang boleh digunakan dalam isu ini.  Pemindahan organ adalah satu kaedah rawatan yang tidak disebut secara spesifik di dalam al-Quran mahupun Sunnah kerana kaedah ini merupakan perkembangan yang baru dalam dunia perubatan. Para ulama telah bersepakat bahawa pemindahan organ adalah diharuskan. Di samping itu tiada persepakatan sama ada isu ini diterima atau ditolak berdasarkan daripada sumber nas yang qat’ie.  Namun begitu keharusan pemindahan organ ini adalah apabila tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit. Ianya juga diharuskan  sekiranya tidak mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada penerima organ atau penderma organ (yang masih hidup).

  الأمور بمقاصدها  iaitu  “Segala perkara itu bergantung kepada tujuan” adalah satu lagi  kaedah yang boleh diguna pakai  dalam isu ini.  Tujuan pemindahan organ adalah bagi menyelamatkan nyawa pesakit. Mereka yang menderma organnya untuk menyelamatkan nyawa manusia lain adalah dianggap sebagai membuat kebajikan sepertimana mereka yang mendermakan harta. Rasulullah (saw) bersabda yang

 bermaksud : انما الأعمل بالنيات. وانما لكل امرئ ما نوى Maksudnya; “Sesungguhnya amalan-amalan  itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang diniatkan” (Hadith sahih diriwayatkan oleh imam-imam Muhadithin yang 6) Islam mensyaratkan pendermaan dilakukan secara ikhlas dengan niat untuk membantu orang yang sakit semata-mata kerana Allah SWT. Ia bukannya bertujuan untuk jual beli ataupun mendapat ganjaran. Kaedah  الضّرر يزال   iaitu “Kemudharatan hendaklah disingkirkan”  adalah satu lagi kaedah yang boleh digunakan. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 32:

 ومن احياها فكأنّما احيا النّاس جميعا Maksudnya: “Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya” Ganjaran yang Allah SWT janjikan dalam menyelamatkan nyawa manusia adalah amat besar. Sehubungan dengan itu pemindahan dan pendermaan organ adalah merupakan bentuk usaha yang diharuskan untuk menyelamatkan  nyawa seseorang daripada kebinasaan. Yusuf al Qaradhawi berpendapat  bahawa walaupun diri manusia itu adalah amanah Allah, namun manusia diberikan kuasa untuk menguruskan dirinya. Ia sama seperti harta, meskipun ia suatu amanah Allah tetapi pemiliknya berhak menguruskan hartanya termasuk mendermakannya kepada orang lain. Cuma bezanya ialah seseorang itu boleh mendermakan semua hartanya tetapi tidak semua anggota tubuh badannya.

 Kaedah    اذ تعارض مفسدتان روعى اعظمهما ضررا بارتكاب أخفهما                 iaitu “Apabila bertembung dua kemudharatan, hendaklah diberi perhatian kepada mudharat yang terbesar di antara  keduanya dengan memilih kemudharatan yang lebih ringan” adalah antara kaedah lain yang boleh diguna pakai dalam isu ini. Pemindahan organ yang bertujuan  untuk menyelamatkan nyawa pesakit merupakan tindakan   mengambil  kemudharatan yang lebih ringan iaitu pemindahan organ untuk menggelakkan kemudharatan yang lebih besar iaitu kematian. Ia tidak bertujuan untuk menghina atau menyiksa mayat, kerana apa yang dilakukan  adalah semata-mata untuk menyelamatkan nyawa.

 Firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 71: والمؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعض    Maksudnya: “ Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain .”   Adalah menjadi kewajipan kita sebagai seorang Muslim untuk meringankan beban kesakitan yang dialami oleh pesakit-pesakit berkenaan lebih-lebih lagi jika mereka beragama Islam. Namun terdapat  garis panduan kepada siapa kita boleh mendermakan organ kita. Menurut Dr Yusuf al-Qardhawi pendermaan yang dibuat hendaklah bukan kepada tentera yang bukan Muslim yang memerangi orang-orang Islam dan juga ke atas Islam, bukan kepada seorang yang murtad dan keutamaan hendaklah diberi kepada orang Islam ke atas yang bukan Islam.

 Kaedah     المشقة تجلب التّيسير         iaitu “Kesukaran yang munasabah  menjadi sebab kepada   kemudahan” adalah satu lagi kaedah Fiqh yang boleh digunakan di dalam isu ini.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185: يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر  Maksudnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” Allah  menghendaki manusia sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk mengatasi kesukaran yang dihadapi dalam kehidupan di dunia ini dengan mencari kemudahan dan menyelesaikan segala permasalahan hidup dengan sebaik-baiknya. Oleh itu kesukaran yang dihadapi oleh pesakit kegagalan organ peringkat akhir perlu diatasi dengan memberikan rawatan yang sesuai iaini pemindahan organ sebagai satu kemudahan kepadanya. Namun begitu  Rasulullah (saw) bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh memudharatkan diri sendiri dan tidak boleh memudharatkan orang lain”. Oleh itu pemindahan dan pendermaan haruslah menepati syarat-syarat tertentu sebelum boleh dilaksanakan seperti  tidak memudharatkan penderma organ, dilakukan dengan izin penderma, penderma mempunyai kelayakan penuh dan sebagainya.

 الضرورة تبيح المحظورات   iaitu “Darurat mengharuskan yang dilarang” adalah antara kaedah fiqh yang agak penting dalam isu ini. Islam memberi kelonggaran atau rukhsah  kepada mereka yang berada dalam keadaan dharurat dari pandangan syarak, melakukan perkara yang haram untuk menghilangkan kemudharatan dengan syarat tidak ada pilihan lain yang halal. Misalnya seseorang yang sangat kelaparan dan tidak menemui makanan halal ditempat terpencil maka dia dibenarkan makan makanan haram seperti daging  babi sekadar  untuk menjaga nyawa iaini menghilangkan kemudharatan  bagi dirinya. Jadi bagi pesakit kegagalan organ peringkat akhir yang  tidak lagi mampu menanggung  kesusahan  dan pilihan lain yang halal tidak ada,  maka melakukan pemindahan organ  menjadi sebagai ikhtiar terakhir untuk menyelamatkan nyawanya. Dalam ayat 173 surah al Baqarah, Allah berfirman maksudnya;  “…maka sesungguhnya terpaksa (kerana dharurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani” Berdasarkan kaedah ini prosedur pemindahan organ yang hendak dijalankan mestilah menepati syarat-syarat yang digariskan oleh ahli muzakarah jawatankuasa Fatwa seperti dilakukan dalam keadaan mendesak dan mustahak, nyawa bergantung pada pemindahan organ berkenaan dan prosedur itu mempunyai peluang besar untuk berjaya. Terdapat di kalangan ulama yang tidak mengharuskan pembedahan ke atas mayat kerana menganggap ianya bertentangan dengan syarak, tidak mempunyai unsur-unsur simpati serta tidak pula mendatangkan rahmat. Pendapat ini mungkin merujuk kepada sebuah hadith Rasulullah (saw) yang bermaksud:- “Memecahkan tulang mayat samalah dengan memecahkannya semasa ia hidup” (Riwayat Ibn Majah) Bagaimanapun ulama mutakhir telah mengharuskan pembedahan ke atas mayat dengan tujuan penyelidikan, rawatan bagi suatu penyakit atau bagi menentukan sebab-sebab jenayah dan ini dibuat berdasarkan prinsip darurat.  Sehubungan dengan itu pengambilan organ dari orang yang telah mati tidak boleh dikatakan menganiayakan si mati kerana ianya tidak dilakukan tanpa sebab yang munasabah sebaliknya untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Tanpa organ yang baru, pesakit boleh meninggal dunia dan hal ini boleh dianggap sebagai situasi darurat. Di samping itu prosedur mengambil organ yang penting dari mayat dilakukan oleh doktor yang mempunyai kepakaran di peringkat yang tinggi oleh itu kemungkinan untuk berlakunya kecuaian, kezaliman atau pencabulan kehormatan mayat adalah rendah. Malah Arab Saudi yang dianggap sebuah negara Islam yang konservatif sebenarnya telah mendahului negara-negara lain dalam prosedur rawatan pemindahan organ manusia berbanding negara-negara Islam yang lain.

No comments:

Post a Comment