Tuesday, September 8, 2015

LATAR BELAKANG

Pemindahan organ adalah satu pembedahan bagi menggantikan organ yang bermasalah atau berpenyakit dengan organ yang baru. Organ yang digunakan datang dari dua sumber iaitu penderma yang masih hidup dan penderma yang telah meninggal dunia. Pendermaan organ pula ialah suatu prosedur  pembedahan  yang melibatkan pemindahan organ dari penderma kepada penerima organ.Pendermaan organ terdiri dari pendermaan kadaverik atau dari orang yang telah meninggal dunia dan pendermaan organ semasa hidup. Pemindahan organ dari penderma yang masih hidup mempunyai kelebihan berbanding dengan pemindahan organ dari penderma yang telah meninggal dunia. Ia boleh dilakukan pada masa yang sesuai dan pembedahan dapat dilakukan secara elektif di mana penderma dan penerima organ berada pada tahap kesihatan yang sesuai dan pada masa yang sesuai. Organ dari penderma hidup juga berfungsi lebih baik dan lebih lama. Pada kebiasaannya pemindahan organ dari penderma hidup hanya dibenarkan dari ahli keluarga yang ada pertalian darah atau hubungan suami isteri. Seseorang yang masih hidup boleh menderma salah satu dari buah pinggang atau sebahagian hatinya. Di samping kesesuaian organ penderma dengan tubuh penerima, penderma organ juga mestilah seorang yang mempunyai taraf kesihatan yang baik dari segi mental dan fizikal. Pendermaan organ ketika masih hidup mempunyai risiko tertentu akibat pembedahan termasuk kematian dan juga kesan negatif dari segi psikologi. Risiko pembedahan termasuk kesakitan di kawasan pembedahan, jangkitan, pendarahan, darah beku dalam salur pembuluh kaki, komplikasi ubat bius, kecederaan tisu dan organ lain, hernia di kawasan luka dan sebagainya. Gejala psikologi yang negatif pula boleh berlaku semasa  atau selepas pendermaan dilakukan seperti penyesalan, dendam dan kemarahan sebab pembedahan yang dilakukan. Organ yang didermakan juga berkemungkinan tidak berfungsi sebagaimana yang diharapkan oleh penerima di samping parut luka pembedahan boleh menjejaskan penampilan  penderma.Rawatan yang diperlukan untuk mengatasi kesan-kesan ini memerlukan masa yang lama di samping kemungkinan menerima kesan sampingan dari ubat-ubatan yang diambil. Walau bagaimanapun risiko adalah berbeza di antara penderma dan juga bergantung kepada organ yang didermakan. Pemindahan organ dari penderma kadaverik pula dilakukan selepas penderma meninggal dunia dengan mendapat keizinan dari waris atau ahli keluarga sekiranya si mati tidak membuat ikrar  derma organ. Organ yang boleh didermakan setelah mati termasuklah buah pinggang, hati, jantung, paru-paru dan juga tisu iaitu kornea (mata), kulit, injap jantung dan tulang. Mengikut laporan dari Utusan Melayu hanya terdapat 0.7 peratus penduduk Malaysia membuat ikrar derma organ berbanding dengan pesakit yang menunggu pendermaan organ sebanyak 15,552 orang.  Dari jumlah yang membuat ikrar ini 53 peratus terdiri dari kaum Cina, 24 peratus kaum India dan 17 peratus kaum Melayu. Perangkaan dari Kementerian Kesihatan pula menunjukkan jumlah pesakit kegagalan fungsi buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis telah meningkat tiga kali ganda dalam tempoh sepuluh tahun iaitu daripada 7,837 orang dalam tahun 2001 kepada 22,932 orang dalam tahun 2010 dan dijangka terus meningkat  dari tahun ke tahun. Kebanyakan pesakit ini sesuai untuk menjalani pemindahan buah pinggang tetapi tidak dapat dilakukan kerana kadar penderma yang sangat rendah.  Mengikut pihak Kementerian, punca utama keadaan ini berlaku adalah disebabkan oleh tanggapan kurang tepat mengenai pandangan agama terutamanya dari orang-orang Islam. Di Malaysia, fatwa-fatwa telah dikeluarkan berkaitan dengan isu ini dengan dimulakan dari negeri Perlis pada tahun 1965, Fatwa Kebangsaan pada tahun 1970, Sarawak pada tahun 1996, Selangor pada tahun 2000, Johor pada tahun 2001 dan Pulau Pinang pada tahun 2010. Pada umumnya fatwa yang dikeluarkan dari Malaysia dan negara-negara lain di serata dunia mengenai pemindahan dan pendermaan organ manusia adalah harus dari segi hukumnya kerana ia bertujuan untuk memelihara nyawa manusia yang merupakan salah satu daripada tuntutan Maqasid Syar’iyyah.  Penentuan hukum ini dibuat berdasarkan bahawa rawatan ini merupakan pilihan terakhir untuk menyelamatkan nyawa manusia akibat kegagalan organ peringkat akhir dan berada dalam keadaan terdesak dan mustahak di mana nyawa pesakit  bergantung kepada organ yang dipindahkan kepadanya dan pemindahannya dijangka akan membawa kejayaan. Bagi pemindahan jantung, penderma mesti disahkan telah mati sebelum pemindahan dijalankan. Berdasarkan kepada fatwa-fatwa yang ada, keharusan hukum pemindahan dan pendermaan organ ini tertakluk kepada syarat-syarat  yang  tertentu. Pemindahan organ ini disyaratkan  tidak menyebabkan penderma yang masih hidup menanggung kemudharatan kepada dirinya seperti kematian  dan kecacatan termasuk cacat anggota, penglihatan dan pendengaran. Pendermaan juga mesti berlaku dengan izin di mana penderma mempunyai kelayakan penuh untuk melaksanakannya. Oleh itu tidak boleh diambil kira keizinan yang diberi oleh kanak-kanak dan orang gila serta orang yang dipengaruhi oleh tekanan perasaan dan kekeliruan. Bagi penderma yang telah meninggal dunia keizinan mesti telah diberikan dalam bentuk wasiat atau ikrar derma organ dan bagi kematian akibat kemalangan keizinan dari ahli waris adalah diperlukan. Pendermaan yang dibuat mestilah atas dasar keizinan dan pendermaan semata-mata serta tidak mengandungi sebarang unsur jual beli. Di samping itu juga para doktor yang terlibat dalam perawatan ini disyaratkan mempunyai ilmu dan kebolehan yang mencukupi untuk membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya terhadap penderma dan penerima selaras dengan prinsip maslahah dan mafsadah dalam syariat Islam. Di Malaysia, organ yang mula dipindahkan ialah mata (kornea). Bagi rawatan pemindahan ginjal ianya telah bermula pada bulan Disember 1975 apabila seorang ahi perniagaan dari Sarawak menerima ginjal dari adiknya. Pemindahan hati telah dmulakan pada bulan Mac 1995 dan pada Disember 1997 satu pembedahan jantung telah berjaya dijalankan di Institut Jantung Negara.

No comments:

Post a Comment