Tuesday, September 8, 2015

PERKARA-PERKARA BERBANGKIT DAN ULASAN

Perkara yang ingin dibangkitkan mengenai isu ini bukan untuk mempersoalkan fatwa yang telah dibuat tetapi persoalannya setakat mana syarat-syarat mengenai keharusan hukum itu dipatuhi oleh mereka yang terlibat. Oleh kerana fatwa yang dibuat ini adalah berdasarkan ijtihad dan qiyas, maka ia masih boleh dibincangkan dan tidak perlu bertaqlid kepada pendapat ulama semata-mata.     Keharusan hukum pemindahan dan pendermaan organ ini adalah untuk memenuhi tuntutan maqasid syar’iyyah iaitu untuk menyelamatkan nyawa manusia dan rawatan yang dilakukan merupakan pilihan terakhir dan dalam keadaan mendesak dan mustahak serta nyawa pesakit bergantung kepada pemindahan berkenaan. Pemindahan yang dilakukan ini juga diyakini akan mendapat kejayaan. Persoalannya adakah benar ia merupakan sebagai pilihan terakhir kerana ia masih boleh diubati dengan ubat-ubatan, penggunaan alatan dan rawatan di hospital.

Pernyataan bahawa nyawa pesakit bergantung kepada pemindahan organ juga sangat mengelirukan kerana pada kenyataannya ribuan pesakit  yang menunggu untuk menjalani pemindahan ini adalah masih dalam keadaan hidup walaupun tidak selesa kerana terpaksa berulang alik ke hospital. Pada hakikatnya pemindahan organ bertujuan meningkatkan kualiti hidup pesakit kerana ajal maut telah ditentukan sejak azali dan tidak mungkin dapat dilambatkan atau dipercepatkan. Di samping itu dari segi tuntutan maqasid syar’iyyah,  menyelamatkan nyawa orang yang dizalimi dan teraniaya yang dalam keadaan terdesak tidak sama kedudukannya dengan ikhtiar untuk merawat orang sakit yang boleh menggunakan berbagai-bagai kaedah perawatan.    

 Keadaan dharurat dalam isu pemindahan organ adalah tidak sama dengan keadaan dharurat yang dibolehkan memakan benda haram untuk mengelakkan kematian. Ini kerana keterpaksaan memakan benda haram  akan pasti dapat menyelamatkan nyawa manakala pemindahan organ tidak dapat dipastikan kejayaannya sedangkan syarat keharusan adalah pemindahan yang hampir pasti berjaya. Pada kenyataannya tidak semua pemindahan organ dapat menyelamatkan nyawa penerimanya bahkan pembedahan yang berjaya juga tidak dapat dipastikan tempoh masa organ pindahan dapat berfungsi dengan baik. Kemudharatan yang terpaksa ditanggung oleh penderma hidup dalam  bentuk kesan-kesan sampingan  akibat pembedahan yang dilakukan adalah pasti dan mengambil masa yang lama untuk pulih. Oleh itu setakat mana   pemindahan  organ  memenuhi syarat dharurat  untuk menyelamatkan nyawa manusia dan  setakat mana ianya memenuhi tuntutan maqasid syar’iyyah memerlukan penjelasan yang lebih terperinci. Hajat yang tidak dipenuhi membawa kerosakan dan kesulitan sementara dharurat yang tidak dipenuhi membawa kebinasaan kerana hajat menepati dharurat juga, sama ada umum atau khusus hajat.  Dalam isu pemindahan organ, hajat adalah dalam bentuk khusus untuk pesakit.  Perlaksanaan pembedahan organ yang berjaya sememangnya memberi manfaat  di mana kualiti hidup penerima organ dapat ditingkatkan, tetapi  dalam keadaan pembedahan yang tidak memenuhi matlamatnya, maka ia berkemungkinan memberi lebih kemudharatan kepada pesakit dan penderma bagi penderma hidup, dan menjadi sia-sia bagi penderma mati.  Jadi ada kalanya kaedah ini mempunyai kaitan dengan isu yang dibangkitkan tetapi ia tidak berlaku secara umum dalam semua kes pemindahan organ.

 Oleh itu pemindahan organ sepatutnya dibenarkan bagi pembedahan yang dipastikan kejayaannya oleh pakar. Bagi pemindahan kornea mata pula, ia merupakan rawatan untuk tujuan ta’siniyyah atau untuk keselesaan kerana buta bukan merupakan penyakit yang berkaitan dengan hidup mati manusia.    Pendermaan perlu dilakukan dengan niat menderma secara sukarela tanpa paksaan, desakan dan tidak di dalam kekeliruan. Kebanyakan penderma membuat keputusan tanpa memikirkan risiko sebenar yang akan ditanggung sebagai penderma hidup atau sesudah mati. Sesetengah penderma juga tidak jelas tentang isu ini dan membuat ikrar derma organ melalui kempen yang dijalankan. Perkara ini boleh dilihat dengan tingginya kadar  penderma di kalangan belia iaitu sebanyak 60 peratus yang mana kebanyakannya belum faham mengenai isu ini dan sekadar ghairah untuk memberi bantuan atau terpengaruh dengan ajakan rakan.

 Oleh itu dari segi amalan ada kalanya kempen-kempen yang dibuat juga merupakan satu desakan.  Syarat keharusan pemindahan dan pendermaan organ adalah berdasarkan niat untuk menyelamatkan nyawa pesakit semata-mata tanpa adanya lain-lain niat sampingan. Niat   melibatkan tiga pihak iaitu penerima, penderma dan pihak pakar yang menjalankan pemindahan. Ini bermakna semua pihak yang berkenaan perlu ikhlas  untuk memenuhi tuntutan menyelamatkan nyawa pesakit semata-mata tanpa ada lain-lain niat  dan pesakit sendiri perlu ikhlas menerima ketentuan yang akan berlaku. Dalam kenyataan hidup hari ini adalah sukar untuk dipastikan adanya keikhlasan sebenar dari setiap pihak khususnya dalam isu ini kerana niat penderma mungkin ikhlas tetapi jelasnya pihak pakar tentunya bertujuan untuk mendapat keuntungan dari segi kewangan serta  juga nama baik dan kemasyhuran.       

 Unsur perdagangan adalah diharamkan dalam mendapatkan rawatan pemindahan kerana penentuan keharusannya adalah berdasarkan pendermaan semata-mata. Disebabkan adanya permintaan yang tinggi maka ada pihak yang tidak bertanggungjawab  akan mengambil kesempatan membekalkan organ manusia, misalnya buah pinggang untuk mereka yang memerlukannya dengan bayaran yang tinggi. Penyelewengan seperti ini sememangnya  berlaku di mana ada pesakit mendapatkan rawatan di luar negara dengan menggunakan organ yang dibeli.  Jadi pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan perkara ini difahami oleh orang Islam supaya ianya tidak berlaku dengan berleluasa. Orang yang masih hidup adalah berhak ke atas tubuhnya secara syar’i berdasarkan hukum orang yang dicederakan boleh menerima diyat  dan oleh yang demikian boleh mendermakan sebelah atau sebahagian organnya secara rela dan ikhlas tanpa adanya tekanan dan desakan.

 Dia perlu memahami dengan jelas ke atas risiko yang perlu ditanggungnya akibat pembedahan pemindahan organ tersebut supaya tidak berlaku penyesalan di hari kemudian.  Tidak ada dalil yang menunjukkan orang yang telah meninggal dunia boleh mewasiatkan tubuhnya.  Jadi orang yang mati tidak berhak berwasiat menderma organ tubuhnya kerana apabila seseorang itu mati maka tubuhnya bukan menjadi miliknya lagi. Hak orang mati yang menjadi tanggungjawab orang hidup ialah mayat perlu diuruskan dengan baik dan sempurna iaitu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. Ahli waris tidak berhak  untuk menderma organ si mati kerana mereka hanya berhak mewarisi harta dan bukan tubuhnya. Berbeza  dengan keharusan mewasiatkan harta dengan kadar tidak melebihi sepertiga bahagian, ia boleh dilakukan kerana dalilnya jelas dari hadith yang sahih. Keharusan  pemindahan organ dari penderma yang telah meninggal dunia berasaskan kepada kaedah menghindari kerosakan iaitu pemindahan organ kepada pesakit  lebih utama daripada mencari kemaslahatan iaitu memelihara mayat. Perkara ini ada perkaitannya dengan hak pemilikan tubuh, menjaga kehormatan mayat dan penganiayaan ke atas mayat. Mayat juga perlu dijaga kehormatannya serta tidak boleh dianiayai dan disakiti atas apa-apa alasan sekali pun. Hadith dari Rasulullah(saw) dengan jelas menyatakan bahawa menganiayai mayat sama dosanya dengan  menganiaya orang yang hidup. Ini bermakna kemaslahatan mayat perlu dipelihara sama seperti memelihara kemaslahatan orang yang masih hidup. Penyeksaan mayat mempunyai nas yang jelas tentang pengharamannya manakala pemindahan organ bukanlah kerosakan yang perlu diutamakan kerana tiada nas jelas untuk membolehkannya diberi keutamaan.

 Masyarakat Islam di negara ini kurang menerima konsep derma organ dan boleh dilihat dengan rendahnya peratusan orang Melayu  yang membuat ikrar derma organ. Kekurangan sambutan dari orang Islam di negara ini terhadap pendermaan organ berbanding dengan  negara-negara Islam yang lain adalah disebabkan oleh perbezaan budaya di mana orang Melayu sangat menghormati mayat. Tambahan pula penggunaan kaedah fiqh dalam membincangkan isu ini tidak difahami oleh orang awam. Masyarakat Islam perlu terlebih dahulu  berpuashati dalam isu menjaga kehormatan dan kebajikan mayat sebelum mereka dapat menerima budaya derma organ yang ingin dilaksanakan oleh pihak yang berkenaan kerana isu pemeliharaan mayat mempunyai kepentingan kepada orang Islam. Walaupun fatwa-fatwa yang ada menentukan bahawa hukum pemindahan dan pendermaan organ adalah harus iaitu bermakna boleh dibuat atau ditinggalkan, namun publisiti yang dikeluarkan di media massa serta kempen-kempen yang dijalankan seolah-olah hukumnya sebagai sunat yang sangat dituntut .

Terdapat juga ulama yang mengeluarkan kenyataan yang semakin mengelirukan orang awam seolah-olah pendermaan organ sangat dituntut oleh syarak  sambil mendesak orang ramai menyertai kempen derma organ yang dijalankan sehingga tergamak menyatakan bahawa  pendermaan organ boleh menjadi sebagai bekalan di akhirat bagi orang kurang amalannya.

No comments:

Post a Comment